Hanya Tuhan yang tahu betapa azabnya melecur bahagian badan selepas selepas jengkaut dipandunya terbakar di sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Bebas Perai di sini, semalam.

Kejadian berlaku lebih kurang jam 11 pagi apabila lelaki, 29 tahun itu dikatakan sedang mengendalikan sebuah jengkaut di tempat kerjanya sebelum berlaku kebakaran terbabit

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.07 pagi.

“Apabila tiba di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah jengkaut dan peratusan kemusnahan kebakaran dianggarkan 40 peratus.

“Kebakaran turut membabitkan sebahagian kecil struktur bangunan kilang terbabit,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu sudah dipadamkan pekerja kilang terbabit sebelum anggota bomba tiba di lokasi.

“Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Tamat