Pendatang tanpa izin tetap cuba memasuki Malaysia walaupun berhadapan dengan berbagai risiko.

Semalam 14 PATI cuba menyusup masuk secara haram ke negara ini namun menemui jalan buntu selepas digagalkan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), semalam.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, ia susulan Operasi Benteng Bersama dijalankan di kawasan Jeti Pemunggahan Balak, Kampung Hidayat, kira-kira jam 3.40 petang.

Katanya, kesemua PATI warga Indonesia yang menaiki bot laju itu, dikesan merapat di kawasan jeti sebelum dilihat beredar secara tergesa-gesa sebaik semua penumpang diturunkan.

“Bagaimanapun, tindakan pantas Tim QRF berjaya mengepung dan menahan kesemua pati terbabit termasuk tiga lelaki yang cuba melarikan diri.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita selain tiga kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan masing-masing berumur antara tiga hingga 69 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, siasatan awal mendapati kesemua PATI dipercayai menggunakan khidmat ejen di Pulau Sebatik sebelum dibawa menaiki bot laju ke Tawau.

“Mereka di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk proses saringan COVID-19 dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tamat