Banyak peristiwa yang pastinya menyentak kesabaran dalam setiap perjuangan. Sama ada perjuangan untuk hidup, makan, menuntut ilmu, serta politik.

Pokoknya perjuangan memerlukan kesabaran. Sekiranya tiada asas kesabaran dalam perjuangan pastinya pejuang itu akan musnah dijilat api emosi sendiri.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bersabar itu sebahagian dalam amalan perjuangan. Sabar itu menuntut kepada pengorbanan.

“Asas kepada kemenangan dalam perjuangan ialah sabar. Sabar itu panjang masanya dan besar pengorbanannya. Membawa obor kebenaran akan berhadapan dengan ramai manusia yang membenci dan menentang atas pelbagai sebab dan kepentingan.

“Dalam Baiah Nabi saw dengan sahabat Yathrib sebelum Hijrah disebut antara isi Baiah ialah “bahawa kamu tidak takut demi jalan Allah celaan golongan yang mencela”.

“Oleh itu, generasi kini perlu mengambil ibrah daripada peristiwa berkenaan dalam setiap sudut pandang kehidupan,” katanya.

Menurutnya adalah mustahak membawa sifat sabar dalam kehidupan. Ini kerana sabar membawa kepada sifat redha dengan ketentuan takdir yang telah Allah tetapkan.

“Namun pada masa sama, hendaklah Kita berada pada tahap melakukan sesuatu pekerjaan itu sehabis baik sebelum menyerahkan ia hanya kepada Allah,” katanya .

Tamat