Merobohkan gagasan dua parti Islam dan Melayu dilihat seakan cuba meletakkan pisau tajam bagi menghalang proses perpaduan utama rakyat marhean.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pemimpin bertanggungjawab bagi membina perpaduan dalam masyarakat.

“Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperkasakan dan menyuburkan lagi perpaduan yang telah berjaya dibina.

“Ini kerana perpaduan antara umat Islam dari dua kelompok besar melebihi 4 juta ahli ini pada hukum Syaraknya wajib diusahakan bukannya sunat.

“Mereka yang cuba merobohkan perpaduan ahli dua parti Melayu Islam tentulah mereka yang berkepentingan diri dan berhawa nafsu duniawi bukan demi kepentingan umat,” katanya.

Menurutnya pemimpin perlu lebih tulus dalam menzahirkan perpaduan samada rakyat serta sesama mereka.

“Ia bukan isu perpaduan pemimpin kerana pemimpin politik meskipun bergaduh masih boleh duduk semeja makan dan minum senyum dan tawa tetapi ia melibatkan hubungan ahli marhaen yang lurus dan tulus dengan parti masing-masing.

“Ianya sama seperti Muafakat Nasional yang dimenterai pada 14.9.2019 telah berjaya mendamaikan dua kelompok umat Islam Melayu yang “berperang” lebih 41 tahun sejak 1978 kerana politik. Ramai yang menangis kesyukuran kerana perpaduan ini,” katanya .

Tamat