Mungkin kerana terlalu banyak menghasilkan filem fiksyen sains serta makhluk asing, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pentagon bakal membuka sebuah pejabat baharu khas untuk menyiasat hal berkaitan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO).

Walaupun kedengaran lucu, namun tindakan berkenaan tetap dijalankan apabila sekumpulan pegawai pertahanan AS ditugaskan dalam sebuah pasukan pakar UFO yang dikenali sebagai Pejabat Pengawasan dan Penyelesaian Anomali (ARSO) pada hujung tahun lalu.

ARSO diwujudkan untuk mendedahkan dan mengenal pasti UFO yang dianggap berisiko mengancam keselamatan negara.

Namun begitu, kewujudan ARSO dikatakan tidak akan mengubah sebarang pendirian asal Pentagon yang lebih banyak merahsiakan hasil penemuannya.

Pengkritik-pengkritik bagaimanapun memberi amaran bahawa kerajaan AS akan menyembunyikan sebarang penemuan utama dan siasatan mengenai UFO sebenarnya sudah lama dijalankan secara rahsia.

Jurucakap Rangkaian UFO Bersama, Ron James berkata, orang ramai tidak mungkin akan diberitahu mengenai sebarang bukti gangguan makhluk asing.

“UFO adalah subjek dengan sejarah kerahsiaan yang boleh dibuktikan.

“Sekiranya mereka (Pentagon) tidak bersikap terbuka dalam penemuan mereka, penubuhan ARSO hanya akan menambah kawalan yang tidak sepatutnya mengenai hal berkaitan UFO,” tegas James.

Tamat