Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan terus beristiqamah menjalankan tugas parti walaupun telah digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurutnya, selepas ini beliau akan menumpukan komitmen untuk membantu parti melalui Majlis Syura Ulamak PAS.

“Saya akan terus istiqamah melaksanakan tugas parti yang lain walaupun tanpa memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS pusat.

“Saya akan menumpukan tugas dalam Majlis Syura Ulama selepas ini,” katanya melalui laman sosial Facebook beliau.

Dr Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus digugurkan daripada jawatannya itu selepas dilantik pada November lalu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada sidang media semalam mengesahkan pengguguran Mohd Khairuddin pada mesyuarat PAS di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang enggan mengulas lanjut punca Mohd Khairuddin digugurkan.