Pertemuan antara UMNO dan Pas Kelantan yang dijadual 22 Jan depan mungkin berakhir tanpa sebarang keputusan, kata Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, ia kemungkinan berlaku sekiranya Pas diminta memilih antara mempertahankan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, Pas Kelantan tetap akan berpegang kepada pendirian pucuk pimpinan sebelum ini yang kekal memperkasakan MN dan mempertahankan PN.

“Kalau sekiranya pertemuan pada 22 Jan ini untuk memberikan kata dua, saya kira ia tidak akan dicapai. Sudah tentu Pas akan ulangi pendirian Pas Pusat yang disebut berkali-kali.

“Dan juga ditambah dengan penegasan oleh Majlis Syura Ulamak bahawa Pas akan terus komited memperkukuhkan PN dan mempertahankan MN.

“Kerana, bagi Pas, tiada jalan untuk menang pilihan raya melainkan semua parti Melayu duduk semeja, untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) lebih selesa,” katanya di sini semalam.

Beliau diminta mengulas berhubung pertemuan yang bakal diadakan atas permintaan UMNO Kelantan tersebut.

Antara lain, ia dipercayai tertumpu ke arah mendapatkan kepastian dari Pas Kelantan sama ada ingin kekal dalam PN atau memilih MN.

Keputusan Pas akan membolehkan ia merancang hala tuju PRU ke-15 kelak.

UMNO sebelum ini memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berada bersama Pas dalam PN.