Rakyat perlu dijelaskan secara terperinci berhubung keperluan dan fakta suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 sama ada ia benar-benar mampu mengekang jangkitan Covid-19.

Bercakap kepada kepada Utusan Malaysia, pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, sehingga kini tiada data dikemukakan Kementerian Kesihatan terhadap kewajaran pengambilan dos penggalak sehingga menimbulkan krisis keyakinan dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, rakyat berhak diberi maklumat terhadap sebarang saranan pengambilan vaksin kerana mereka sendiri akhirnya yang menerima suntikan itu.

“Data-data ini perlu dikeluarkan oleh pakar dan ahli akademik universiti tempatan, bukannya Kementerian Kesihatan supaya lebih telus. Kita menyu­ruh rakyat suntik vaksin itu, vaksin ini, tetapi tiada sebarang fakta kukuh dan jelas.

“Jadi, kerajaan kena teliti dalam soal ini untuk meningkatkan keyakinan rakyat agar tidak menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan menyarankan para penerima vaksin Covid-19 me­ngambil dos penggalak seawal tiga bulan selepas dos kedua apabila dapatan oleh institut kesihatan negara menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19 berkurangan seiring dengan masa.

Sehingga kelmarin, sebanyak 28.7 peratus atau 9.3 juta rakyat telah menerima dos penggalak sejak dilaksanakan Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berpandangan, tidak ditolak kemungkinan situasi buruk varian Omicron seperti berlaku di negara lain ‘membarah’ di negara ini sekiranya rakyat mengambil mudah terhadap suntikan dos penggalak.

Beliau mengesyorkan Kementerian Kesihatan menjadikan dos penggalak sebagai syarat melengkapkan divaksinasi bagi mengalakkan rakyat untuk mendapatkan suntikan.

Katanya, pelbagai kajian luar mendapati antibodi manusia menurun dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas menerima suntikan kedua sekali gus menunjukkan dos penggalak penting bagi mengelakkan situa­si lebih buruk.

“Kerajaan disyorkan dos penggalak menjadi syarat lengkap vaksinasi,” kata beliau. – UTUSAN