Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyerahkan kepada siasatan polis berhubung isu moral seorang pegawai di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Menterinya, Idris Ahmad malah memberi jaminan tidak sama sekali mencampuri bidang kuasa polis dan proses undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Semua pihak turut diminta akur dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan yang telus dan terperinci,” jelas beliau menerusi kenyataan di sini hari ini.

Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, beliau seolah-olah merujuk kemelut dalaman Persatuan Pegawai Syariah Malaysia disebabkan isu melibatkan hakim kanan JKSM tersebut.

Ia menyaksikan berlaku dua perbezaan pandangan melibatkan dua kumpulan sama ada yang menyokong Presidennya, Ibrahim Deris atau timbalannya, Muhammad Yusro Borhan Nordin.

Polemik ‘perang media’ itu turut menyebabkan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tampil meminta Idris campur tangan dalam kemelut berkenaan.

Suasana itu ujarnya, dibimbangi mengakibatkan imej JKSM dan institusi perundangan syariah tempatan mengalami defisit kepercayaan dalam kalangan orang awam terutama umat Islam.

Mengulas lebih lanjut, Idris memohon kerjasama semua pihak agar bertenang dan kekal berlapang dada untuk memberi keadilan kepada individu yang terlibat dalam isu tersebut.

“Sebarang kenyataan yang ditimbulkan kelak dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan dan tindakan percanggahan berkenaan juga perlulah dihentikan dengan segera,” tegas beliau. – UTUSAN ONLINE