Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ‘hilang’ ketika banjir melanda Selangor pada 18 Disember lalu.

Beliau berkata demikian ketika diasak oleh Khalid yang bertanya siapa sepatutnya mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negeri Selangor.

Katanya, berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan yang diselaraskan oleh Jabatan Pengurusan Bencana Negeri dan Jabatan Pengurusan Bencana Daerah di Selangor sehingga mendapat reaksi negatif daripada rakyat, beliau telah mengambil keputusan untuk mempengerusikan beberapa siri mesyuarat.

“Iaitu mesyuarat khas pada 19 Disember 2021 di Pejabat Daerah dan Tanah Klang yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selaku Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Negeri bagi mendapatkan penerangan situasi semasa banjir dan isu-isu yang memerlukan tindakan segera.

“Mesyuarat turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara yang ketika itu dimaklumkan tentang kekurangan di Selangor dan tindakan segera telah pun dilakukan ketika itu.

“Sepatutnya bukan saya yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor, patut bukan saya,” katanya dalam mesyuarat khas penggal keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Khalid bangkit mencelah dan bertanya, “Sepatutnya siapa? Tan Sri Noh Omar?”

Ismail Sabri meminta Khalid duduk.

“Kalau nak mencelah beritahu saya, duduk,” katanya. Khalid bagaimanapun enggan duduk.

“Shah Alam hilang. Polis cari…tak ada,” kata Ismail Sabri.

“Ahli Parlimen Shah Alam dikatakan hilang…tiada dalam radar,” katanya.

Dakwaan Ismail Sabri itu mengundang kekecohan seketika dalam Dewan Rakyat, sehinggalah Khalid menjelaskan bahawa beliau berada di lapangan sejak hari pertama banjir melanda Selangor.

“Ok, kalau turun padang baguslah, bagus-bagus,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu kemudian menegur Ismail Sabri.

“Kalau boleh kita tak nak main blame game. Majlis ini adalah untuk mencari penyelesaian, itu yang kita nak. Itu sahaja,” katanya.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub juga meminta Ismail Sabri supaya tidak menyindir mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menjelaskan beliau tidak menyindir mana-mana ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pula mendakwa Ismail Sabri tidak menjemput ahli Parlimen kawasan yang terlibat dengan masalah banjir.

“Ya, you pergi banyak tempat tapi tak panggil ahli Parlimen. Kalau nak tahu masalah, panggillah ahli Parlimen,” katanya.

Ismail Sabri membalas dengan ringkas: “Saya turun padang tak beritahu ahli-ahli Parlimen yang berkenaan, sebab banjir ini kecemasan. Tiada jemputan dikeluarkan,” katanya.