Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini memberi bayangan parti itu sedia bekerjasama dengan UMNO pada PRN Johor sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubarkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi UMNO dalam masa terdekat.

“Kita tunggu dululah PRN Johor jadi atau tidak, kalau jadi kita akan adakan perbincangan dengan UMNO. Komitmen kita sebenarnya dengan UMNO dan lain-lain parti masih lagi berjalan dan kita harapkan mampu mengadakan kerjasama yang baik dalam konteks politik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Malaysia Recyling Alliance (MAREA) di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air memaklumkan jika ditakdirkan PRN Johor diadakan Pas sentiasa bersedia untuk ‘masuk’ bertanding.

Ditanya mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN), beliau menegaskan ia masih berjalan dan tiada istilah terbubar lagi.

Menurutnya, jika PRN Johor diadakan maka rakyat bakal menyaksikan satu lagi PRN yang berasingan daripada kerajaan Persekutuan pada masa-masa yang akan datang.

“Untuk negara semua nak tengok kurangkan ‘politiking’ dalam isu rakyat yang susah, namun demikian terpulang kepada kerajaan Johor kalau terbubar kita terpaksa hadapi pilihan raya.

“Isunya bukan pilihan raya kali ini, bererti Johor akan mengadakan pilihan raya secara berasingan. Kalau boleh kita tak nak banyak PRN yang berbeza dengan tarikh kerajaan Persekutuan, yang akhirnya rakyat akan hidup dengan situasi politik sepanjang waktu,” ujarnya.