Bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) atau bertanding sendirian.

Demikian tiga kemungkinan dibayangkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas mengesahkan parti itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Takiyuddin berkata, secara asasnya, Pas mengutamakan penyatuan ummah dan konsep itu turut diterapkan ketika berdepan PRN Melaka baru-baru ini namun menjadi tidak seperti diharapkan.

“Pas ingin bekerjasama dengan semua, sama ada UMNO atau Bersatu kerana kita utamakan penyatuan ummah, sebab itu kita bersedia berunding dan berbincang. Dalam PRN Melaka pun kita bincang dengan UMNO tapi yang berlaku adalah sebagaimana yang berlaku (bertanding atas tiket PN). Ada beberapa perkara menyebabkan kita buat keputusan itu.

“Kita merundingkan perkara yang terbaik kerana pilihan raya adalah proses memilih kepemimpinan sama ada di peringkat negara atau negeri, maka sudah tentu kita mahu hasil terbaik bagi mengelak ketidakstabilan politik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 10 penghulu tanpa mukim kaum Tionghua sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Takiyuddin dalam pada itu menambah, sebagai antara parti tertua dalam negara, Pas tidak mahu ketinggalan untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya termasuk PRN Johor.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini masih terlalu awal untuk menentukan jumlah kerusi akan ditandingi Pas kerana perkara itu perlu dibincangkan dengan teliti. – UTUSAN