Ahli jemaah masjid Felda Belara, semuanya tersenyum gembira apabila usaha Ahli Parlimen, Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bagi mendapatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM 2 juta diluluskan.

Sebaik sahaja Dr Khairuddin mengumumkan berita berkenaan kepada semua ahli jemaah masjid berkenaan selepas Solat Jumaat, dilihat ada yang mengalirkan air mata, terharu dengan usaha berkenaan.

“Ini semua adalah usaha semua, terutamanya ahli jawatankuasa masjid yang telah mengusulkan cadangan berkenaan.

“Hal ini bertepatan untuk pembinaan masjid baru kerana keperluan bagi menampung bilangan jemaah semakin bertambah.

“Alhamdulillah apabila melihat jemaah semakin ramai, itu menunjukkan kesatuan jemaah semakin baik, Insyaallah, Amin, katanya ketika mengumumkan berita berkenaan di Masjid Felda Belara, semalam.

Beliau berkata, adalah menjadi satu keperluan bagi menaik taraf fungsi masjid kerana ia merupakan satu lambang kekuatan Islam.

“Saya akan cuba sedayanya membantu bagi merealisasikan hasrat rakyat apatah lagi masjid adalah simbol kekuatan syiar Islam.

“Masjid bukan hanya sebagai tempat solat, tapi turut menjadi pusat ilmu, pusat singgahan musafir, pusat aktiviti sosial Islam dan sebagainya,” katanya.

Tamat