Melihat kepada UMNO negeri Kelantan yang tergesa-gesa mengambil keputusan meninggalkan pakatan diantara dua parti politik itu, PAS mengambil pendekatan ‘redha’ demi menghormati pendirian mereka.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan keputusan itu dilakukan oleh pihak kepimpinan dalaman UMNO sendiri.

“Kita secara mesra memahami hasrat UMNO untuk memutuskan hubungan politik ini kerana ia (UMNO) tidak boleh terima Bersatu. Tetapi, pendirian kita masih mahu bersama dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bagi memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

“Malah, Islam juga turut mementingkan perpaduan jadi kita berhasrat untuk terus bersama UMNO sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya selepas merasmikan program di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ianya berhubung kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilaporkan berkata, UMNO Kelantan membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS negeri itu.

Keputusan itu dibuat selepas pertemuan antara Biro Politik UMNO Kelantan dengan Dewan Harian PAS Kelantan gagal mencari kata putus berhubung kerjasama kedua-dua parti dalam MN.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata menerusi perbincangan bersama UMNO semalam, PAS meminta hubungan ini tidak diputuskan memandangkan keadaan semasa kedua-dua parti adalah baik.

Tamat