PASIR GUDANG – Barisan Nasional (BN) mula mengintai bagi merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan DUN Permas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua kerusi dalam Parlimen Pasir Gudang itu akan cuba diambil semula yang kini disandang wakil rakyat DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya nyatakan kepada ahli parti bahawa kita semua ada tanggungjawab dan peranan untuk kembalikan Johor sebagai tiang seri UMNO.

“Kita akan pastikan, segala retorik janji dan tipu daya Pakatan Harapan (PH) serta mereka yang pernah menjadi sebahagian dari PH yang menipu pengundi, tidak akan berulang lagi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian semasa melakukan tinjauan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Pasir Gudang, di sini pada malam Jumaat.

Mohamed Khaled yang tewas semasa bertanding sebagai calon DUN Permas dan Parlimen Pasir Gudang sebelum ini, melawat PDM Telok Jawa di Kampung Kuala Masai dan PDM Sri Amar di Taman Sri Pandan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau semasa menjadi Menteri Besar Johor tewas di Parlimen Pasir Gudang dengan penyandang, Hassan Abdul Karim (Parti Keadilan Rakyat) dengan majoriti undi 24,276 dan DUN Permas tersungkur melawan Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (Bersatu) dengan majoriti undi 8,746.

Mohamed Khaled berkata, BN mempunyai ‘track record’ dalam menguruskan Malaysia yang majmuk hingga mampu memacu kestabilan dan kemakmuran negara berdasarkan pengalaman dimiliki.

Tamat