Terkejut !! Sungguh Berlaku Khianat? Dua Kali Lubang Biawak.

Masyarakat seakan boleh meramalkan bakal berlaku rombakan besar dalam percaturan politik negara. Manakah tidak, UMNO kelihatanya mula bertanding sendiri melalui PRN Sarawak, Melaka, dan mungkin Johor.

Keputusan baru daripada UMNO Kelantan untuk tidak lagi bersama dengan PAS negeri menerusi Muafakat Nasional (MN), berkuat kuasa serta-merta sekali lagi dapat diramalkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata UMNO membuat keputusan itu berikutan PAS Kelantan yang masih menjalin kerjasama dengan BERSATU dan tetap memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, keputusan berkenaan mencapai kata sepakat daripada ahli UMNO negeri selepas mengadakan mesyuarat khas dengan PAS negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.

“Pendirian ini dibuat dengan rasa yang sedih kerana kita akan mengharungi jalan berliku secara solo.

“Terus terang di sini, pihak pimpinan PAS Kelantan meminta kita untuk menangguhkan dulu keputusan yang dibuat ini, tetapi saya selaku pemimpin UMNO di Kelantan mengambil risiko dengan membuat keputusan ini.

“Saya menganggap ini bukan saja keputusan badan perhubungan, tetapi ia juga keputusan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat di Kelantan yang sudah sekian lama melihat dan memerhatikan kedudukan politik UMNO, PAS dan lain-lain parti di negeri ini,” katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Negeri hari ini.

Beliau turut menegaskan, selagi PAS di peringkat negeri dan pusat memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka selama itulah tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Kelantan akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

“Demi kestabilan politik dan menghormati keputusan demokrasi yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya lalu, biarlah kerajaan negeri mengurus tadbir rakyat Kelantan tanpa ada apa-apa tekanan.

“Walaupun tidak lagi bekerjasama dengan PAS, namun UMNO akan tetap memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Kelantan.

“Sekiranya ada apa-apa yang berkaitan, termasuk berkepentingan dengan asas agama, rakyat dan bangsa, kita (UMNO Kelantan) boleh duduk bersama (PAS),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan berkata, UMNO negeri juga membuat keputusan untuk bertanding di semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU-15.

“Saya berharap pada PRU-15 nanti rakyat akan memberi kepercayaan, peluang dan mandat kepada UMNO untuk mengemudi Kelantan bagi membuktikan apa yang mereka boleh lakukan,” katanya.

Tamat