Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang mana beliau merupakan pengasas dan pemegang amanahnya.