Seluruh negara hari ini bakal mengetahui nasib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sama ada diperintah membela diri atau dibebaskan daripada 47 pertuduhan melibatkan kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Keputusan yang akan diumumkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan menentukan masa depan ahli Parlimen Bagan Datuk itu, sama ada harga dirinya akan terus tercemar dengan pertuduhan jenayah atau namanya dibersihkan jika mahkamah melepas dan membebaskannya daripada semua pertuduhan yang dihadapi.

Hal itu setelah Collin Lawrence mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan bermula November 2019 selain meneliti pembentangan hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan selama 24 hari bermula 6 September 2021.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd, sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE