Dalam usaha memastikan keselamatan terjamin Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menambah jumlah anggota bertugas di Johor bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti dapat berjalan lancar.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, ianya bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi PRN Johor dalam normal baharu.

“Saya sendiri sudah bercakap dengan Ketua Polis Johor (Datuk Kamarul Zaman Mamat) bukan saja mengenai persediaan tetapi juga jumlah keanggotaan. Sekiranya tidak mencukupi, Bukit Aman akan bantu.

“Segala persiapan mengatur gerak akan ditentukan oleh pihak kontinjen Johor melalui ketua polisnya sendiri,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina di Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Mat Kassim Karim, Pengerusi PLUS Malaysia Bhd (PLUS) Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) semasa tempoh PRN, Razarudin berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama pihak berkaitan termasuk jumlah pengundi yang ditetapkan bagi setiap saluran.

Sabtu lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Ia selepas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menghadap baginda di Istana Bukit Serene bagi memaklum sembah hasrat kerajaan negeri mengadakan PRN.

Tamat