UMNO akan bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan mengenai kerusi tersebut masih belum diadakan, namun itu sasaran parti setakat itu.

“Kita lihat minimum 42 kerusi, untuk UMNO sahaja, 42 kerusi daripada 56,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadiri kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah beliau, meskipun ia masih belum dibincangkan, namun beliau menegaskan UMNO perlu terus bersedia dengan memberikan tumpuan kepada pengundi muda.

“Untuk Johor, ada lebih 700,000 (pengundi baharu). Semua orang perlu bekerja keras termasuk UMNO.

“Ini bukan kerja mudah untuk UMNO. Kita tak tahu apa yang akan berlaku,” ujarnya.