Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.
“Keputusan dibuat selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
“Saya dengan ini memanggil tertuduh untuk membela diri terhadap semua pertuduhan.
“Dalam keputusan di akhir pendakwaan, hujahan pembelaan bahawa tertuduh perlu diberi imuniti pendakwaan mahkamah, adalah tidak bermerit,” katanya.
Beliau memberi tiga pilihan terhadap Ahmad Zahid untuk membela diri iaitu memberi keterangan secara bersumpah, berdiam diri atau memberi kenyataan tidak bersumpah dari tempat saksi tanpa pemeriksaan balas.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.
Tamat