Cadangan membangunkan sektor pekerjaan buat pelajar tahfiz dan Orang Kurang Upaya (OKU) sangat disambut baik oleh pihak Kementerian Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal agama).

Menterinya Senator Idris Ahmad berkata, pihaknya mengambil pendekatan terbuka bagi mana-mana pihak memberi cadangan mahupun penambahbaikan dalam usaha bagi pembangunan institusi tahfiz, pondok dan madrasah yang terdapat di Malaysia yang merangkumi pelbagai sudut pembangunan.

“Kementerian sudahpun menyediakan pelan pembangunan survival ekonomi dan dana institusi ini sehinggalah ‘career path’ anak-anak murid yang terlibat dalam institusi itu, semua dapat dibincangkan daripada pelbagai pendapat.

“Kini berbagai usaha yang telah dan akan dilaksanakan agar institusi tahfiz, pondok dan pengajian ilmu agama mampu berkembang pesat dan dapat menarik seramai mungkin umat Islam dan anak-anak muda mendekati ilmu dan suasana agama di bumi yang kita cintai ini.

“Apa yang membuat saya terharu apabila terkenang kembali inilah yang diperjuang oleh ayah saya untuk memastikan kami dalam keluarga sentiasa terdidik dengan suasana ilmu agama, walaupun ketika itu meletakkan pendidikan formal di sekolah agama agak asing dan sering dipertikaikan berkenaan ‘masa depan’ mereka yang bersekolah agama,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Idris Ahmad juga pada hari menerima kunjungan hormat daripada Senator Ras Adiba Radzi serta Yayasan Al-Islah dan Beroleh Maju JV Sdn. Bhd di pejabatnya, hari ini.

Hadir sama Prof. Dr. Muhammad Rahimi Osman dan Prof. Dr. Ghafarullahuddin Din mewakili Yayasan Al-Islah dan rombongan daripada Beroleh Maju JV Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Dato’ Ir. Noor Azmi Jaafar dan Muhammad Hidir Hamin

Menurutnya, walaupun melalui pertemuan yang singkat namun ianya mengujakan kerana perbincangan yang padat dengan idea bagi memajukan ummah.

“Kesedaran ini perlu terus dibugarkan agar ramai lagi umat Islam di Malaysia dapat menghayati dan mengamalkan ajaran agama dengan sempuran seperti yang diperintahkan kepada oleh Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW, insya-Allah,” katanya lagi.

“Moga diteruskan usaha meningkatkan kualiti yang terbaik untuk kerja agama yang kita cintai ini. Prihatin dan cakna. Itu roh yang mesti dipegang oleh seluruh warga agensi Islam,”

“Saya katakan sememangnya isu komuniti OKU dan kebajikan warga emas menjadi sebahagian agenda utama kami di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Menurutnya, beliau mendengar dan mencatat satu persatu pandangan yang dikemukakan mengenai isu-isu kebajikan warga emas dan hal-hal berkaitan komuniti OKU.



Tambahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah beliau tugaskan untuk menyelaras tindakan perkara-perkara berkaitan warga emas dan komuniti OKU.

Tamat