Sejak 1 Januari 2022 Kedah disahkan negeri mempunyai kes pelajar dijangkiti pendamik COVID-19 paling ramai dengan jumlah seramai 1,494.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo, berkata pelajar berusia antara tujuh hingga 18 tahun terbabit bagaimanapun dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan.

“Sebanyak 1,493 kes atau 99.9 peratus pelajar berkenaan berada dalam jangkitan Kategori Satu dan Dua, manakala 0.1 peratus atau satu kes Kategori Tiga.

“Daripada jumlah itu, 915 kes (61.2 peratus) masih dirawat, manakala 579 kes (38.8 peratus) termasuk seorang pelajar dalam Kategori Tiga sudah sembuh,” katanya kepada BH, hari ini.

Setakat ini, Dr Othman berkata, tiada pelajar berkenaan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tidak ada kematian dilaporkan.

Katanya, sebilangan mereka dirawat di hospital, manakala yang lain ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta menjalani kuarantin di rumah.

Dalam pada itu, beliau berkata, 90 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim disahkan positif COVID-19 membabitkan Kluster Dah Sungai Balak, Sabtu lalu.

“Satu lagi kluster pendidikan, iaitu Kluster Dah Mutiara Naga membabitkan sebuah TADIKA swasta di Kubang Pasu, turut dikesan pada Sabtu lalu. Sebanyak 41 kes dilaporkan dalam kluster itu.

“Perkembangan itu membawa kepada jumlah 11 kluster COVID-19 berkaitan pendidikan di Kedah, setakat ini,” katanya.

Kluster berkaitan institusi pendidikan meliputi guru dan pelajar di Kedah mula direkodkan pada 11 Januari lalu, membabitkan Kluster Dah Che Bema yang tercetus selepas dua hari sekolah dibuka semula.


Pada 17 Januari lalu, Kluster Dah Jalan Merbau dikesan membabitkan warga Kolej MARA Kuala Nerang.

Seterusnya, tiga kluster baharu COVID-19 dilaporkan pada 18 Januari lalu, iaitu Kluster Dah Penyarom membabitkan warga Maktab Mahmud di Pendang; Kluster Dah Teluk Teduri (Maktab Rendah Sains MARA/MRSM Baling); dan Kluster Dah Jalan Pantai (SMK Kota Kuala Muda di Sungai Petani).

Ia disusuli tiga lagi kluster, iaitu Kluster Dah Padang Halban (SMK Changlun di Kubang Pasu); Kluster Dah Sungai Kob (SMK Sungai Kob, Kulim); dan Kluster Dah Sungai Limau (Sekolah Menengah Agama Saadah Al-Diniah Al-Islamiah di Yan).

Tamat