Sektor Pendidikan Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP) menubuhkan sebuah Sekolah Menengah Intergrasi Islam (Smiti) di Temerloh.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, Smiti Al Istiqamah itu kini dalam proses pengambilan pelajar dan tenaga pengajar merupakan yang pertama di Pahang dan dijangka mula beroperasi Mac tahun ini.

“Langkah DPPNP bakal memberi peluang kepada murid dari Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) meneruskan pendidikan peringkat menengah di Smiti Al Istiqamah.

“Tenaga pengajarnya dalam kalangan pemegang ijazah dan diploma perguruan manakala silibusnya meliputi akademik, diniyah, agama, hafazan al-Quran dan ko-kurikulum. Sekolah ini merupakan harian bukan berasrama,” katanya.

Mohd Zarimi yang juga Mudir Maahad Tahfiz Al Istiqamah (MTIS) Temerloh berkata, kepimpinan Jabatan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Pahang bagi tahun 2022 juga melaksanakan pemukiman bagi membincangkan hala tuju, perancangan dan strategi bagi menyediakan pendidikan Islam terbaik untuk murid pra sekolah di negeri tersebut bagi mengukuhkan kualiti pendidikan peringkat berkenaan.

Sebelum itu, Mohd Zarimi hadir merasmikan Majlis Penutupan Pemukiman Jabatan Pasti Pahang di Cherating pada Sabtu dan Ahad lalu.

Tambah beliau, warga Pasti, Sriti dan Smiti juga perlu memanfaatkan teknologi terkini.

“Walau berada dalam medan tarbiah pendidikan sekolah, kerja-kerja dakwah dan siasah mestilah seiring dengan zaman bagi menambat hati anak-anak muda untuk bersama dengan perjuangan Islam,” katanya.

Menurutnya, sementara itu pengoperasian MTIS mendapat sambutan baik di mana bilangan pelajarnya kini seramai 68 orang termasuk 24 pelajar baharu tingkatan satu sesi 2022. – SINAR