Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadualkan akan berada di negeri ini hari ini dan esok bagi membincangkan persiapan jentera dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut sumber, susulan itu, satu pertemuan juga akan diadakan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) serta parti komponen bagi memperincikan strategi menghadapi PRN Ke-15 itu nanti.

Tambahnya, kunjungan kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu akan dimulakan dengan mengadakan pertemuan tertutup bersama Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

“Pertemuan tertutup bersama Menteri Besar itu akan diadakan di Saujana, di sini, pada pukul 8.30 malam ini dengan disertai pimpinan UMNO Johor.

“Esok pula, Presiden dan Timbalan Presiden akan menyertai Mesyuarat UMNO Johor bersama komponen BN di bangunan UMNO bagi memperincikan butiran lanjut mengenai PRN Johor.

“Mengikut ketetapan yang diterima, Presiden dan Timbalan Presiden akan ke Johor Bahru bermula malam ini namun ia tertakluk sekiranya terdapat perubahan saat akhir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, UMNO dilaporkan mahu bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mohamad berkata, jumlah itu belum mengambil kira kerusi DUN bagi parti komponen BN.

Sementara itu, sumber turut memaklumkan bahawa pendirian UMNO Johor setakat ini berhasrat untuk bergerak solo bersama gabungan BN sahaja.

“Mungkin juga mesyuarat komponen BN esok akan memuktamadkan ketetapan itu jika direstui Presiden dan Timbalan,” katanya. – UTUSAN