“Saya mungkin tidak akan bertanding, tetapi terserah kepada pimpinan di atas sebab mahu sepenuh masa pada soal yang lebih utama iaitu di peringkat Parlimen, pusat dan juga menguruskan parti,” itu kenyataan daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Menurutnya beliau tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Muhyiddin berkata, ini berikutan mahu memberikan tumpuan kepada pentadbiran di peringkat pusat dan negeri.

“Jadi saya hendak beri peluang kepada ramai lagi tokoh-tokoh di Johor terutama untuk kerusi itu dan saya serah kepada mereka nantilah siapa yang hendak mengisi, itu kita akan putuskan kemudian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu Negeri Johor di sini semalam.

Menurutnya Bersatu bersedia menampilkan calon-calon muda dengan gabungan orang lama, bagi memberi corak baru politik dalam negara.

“Memang saya faham bahawa sekarang ini adalah masa anak-anak muda, tetapi gabungan muda, lama dan matang agak wajar, tidak ada satu parti akan letak semua orang muda dan ketepikan orang lama.

“Tetapi, itu belum muktamad di peringkat awal, nanti bila senarai calon itu dikemukakan baik oleh Srikandi, Armada, anak muda dan parti-parti gabungan, saya rasa kita perlu beri perhatian kepada perkara itu, insya-Allah,” tegasnya.

Selain itu Muhyiddin berkata, Pas diyakini akan terus istiqamah bersama PN pada PRN Johor nanti.

“Nampaknya hubungan kerjasama antara parti-parti seperti Pas confirm istikamah dalam PN, Gerakan, parti-parti di Sabah pun begitu juga tiada masalah.

“Paling penting adalah menyusun gerak kerja berdasarkan pengalaman di Melaka dan bagaimana hendak pastikan pengundi-pengundi faham (menyokong),” ujarnya.

Tamat