Melihat kepada pengalaman Peguam Diraja dari United Kingdom, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat melantik mereka bagi mengendalikan kes melibatkan dirinya dalam isu dan persoalan perundangan yang kompleks dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.

Hal itu didedahkan dalam surat enam halaman yang dikeluarkan peguam Najib daripada Shafee & Co. kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini.

Melalui salinan surat yang dikeluarkan kepada media hari ini, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata memandangkan rayuan itu membabitkan isu dan persoalan undang-undang yang kompleks serta dianggap baharu di Malaysia dan Komanwel, perayu (Najib) memerlukan nasihat dan kepakaran daripada Peguam Diraja berpengalaman yang telah mengendalikan isu-isu kompleks ini.

Pelantikan Peguam Diraja itu akan dibuat secara ad-hoc selepas mendapat kebenaran daripada mahkamah Malaysia.

Selain itu, beliau berkata mereka juga memohon Mahkamah Persekutuan tidak menetapkan tarikh awal untuk pendengaran rayuan itu kerana mereka memerlukan masa untuk menterjemahkan nota dan dokumen mahkamah yang dikaitkan dengan kes itu dari Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris, bagi membolehkan beliau dan peguam kanan lain memberi taklimat kepada Peguam Diraja mengenai rayuan itu.

“Oleh itu perayu memerlukan masa, selepas menerima rekod rayuan untuk membekalkan (rekod) yang sama kepada Peguam Diraja di London,” kata peguam.

Muhammad Shafee berkata pihak-pihak masih belum menerima rekod penuh rayuan berhubung kes itu dan menyatakan sudah ada 121 jilid dokumen dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, yang menunjukkan bahawa ia mungkin meningkat di mahkamah tertinggi negara.

“Memandangkan pihak-pihak tidak dibekalkan dengan rekod penuh rayuan, perayu tidak dapat menyediakan Petisyen Rayuan yang lengkap kerana kami perlu meneliti rekod rayuan,” katanya dan menambah mereka memerlukan lanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan.

“Justeru, kami percaya penetapan tarikh awal untuk mendengar rayuan ini akan menyebabkan prejudis kepada perayu terutama memandangkan bahawa ia adalah rayuan terakhir. Perayu perlu diberi masa yang cukup untuk membuat persediaan dan bukannya rayuan dipercepatkan. Perayu merasakan rayuannya dijalankan dengan tergesa-gesa tanpa alasan yang kukuh. Persepsi adalah sangat penting kepada imej badan kehakiman,” katanya.

Berhubung dua rayuan bekas perdana menteri itu, untuk menambah bukti baharu dan rayuan utama, peguam kanan itu berkata ia adalah satu keperluan untuk mengadakan perbicaraan berasingan dengan jurang masa yang ketara antara kedua-dua proses.

Tamat