Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kesepakatan pembangkang dalam satu blok yang sama bakal memberi kelebihan apabila bertembung Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, kesepakatan antara parti pembangkang perlu kerana pertembungan sesama sendiri hanya akan memberi kelebihan kepada BN.

“Kita ada bincang perkara ini antara Amanah, PKR dan DAP. Selain itu kita juga terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti pembangkang di luar Pakatan Harapan (PH) untuk bersama-sama dalam satu blok.

“Ini termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sekiranya mereka mahu bersama-sama dalam menghadapi PRN ini.

“Kita tidak mahu pembangkang bertembung sesama sendiri di mana pembangkang perlu bekerjasama di bawah khemah besar, satu ‘grand coalition’. Mungkin kita boleh namakan PH Plus atau sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dzulkefly yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar turut memberitahu, kerjasama itu bukan bermaksud parti pembangkang di luar PH perlu menjadi parti komponen, sebaliknya lebih kepada persefahaman politik.

“Persefahaman politik penting terutama melibatkan kerusi-kerusi yang parti pembangkang mempunyai potensi untuk menang. Hal ini penting sekali gus dapat mengelakkan situasi yang berlaku di PRN Melaka lalu.

“Kita juga masih terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Kita boleh bincang dan bawa perkara ini kepada Majlis Presiden PH. Mungkin akan timbul isu pengkhianatan sebelum ini sehingga kerajaan PH hanya bertahan 22 bulan, tetapi itu semua terpulang kepada Majlis Pimpinan PH untuk menentukan,” jelasnya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor. – UTUSAN ONLINE