Pas belum muktamadkan bilangan kerusi yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu perlu ditentukan dalam mesyuarat yang akan diadakan oleh parti itu nanti.

“Belum dipanggil lagi untuk mesyuarat dan belum ada pengisytiharan pendirian.

“Kita nak bertanding berapa kerusi dan bagaimana kaedah semua belum ada keputusan muktamad, jadi, kita tunggulah macam mana nanti,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini pada Rabu.

Beliau menegaskan Pas sentiasa bersedia menghadapi mana-mana pilihan raya dan tidak pernah ketinggalan untuk bertanding.

“Cuma sekarang ini, macam mana kaedah atau berapakah kerusi yang Pas akan bertanding termasuk perihal kerjasama dengan mana-mana pihak belum diketahui,” katanya.

Pas akan menggerakkan lebih 15,000 jentera dalam PRN yang dijangka diadakan sekitar Mac itu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dibubarkan pada Sabtu lalu.