Kedah nekad dengan usaha bagi menamatkan lesen premis judi menggunakan kaedah berperingkat. Setakat ini 50 premis judi telahpun ditamatkan lesennya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini masa baru dua premis perjudian di Baling ditamat lesen premisnya dan tidak akan disambung.

Maklumat terperinci akan diperolehi dalam sehari dua lagi,” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada 20 penerima di pejabatnya, Wisma Darul Aman, hari ini.

Pada persidangan Bajet Kedah 2022 tahun lepas Sanusi memaklumkan kerajaan negeri tidak akan lagi memperbaharui dan mengeluarkan lesen premis judi serta menghadkan jualan arak.

Walaupun keputusan itu menimbulkan pelbagai spekulasi dan tidak senang pihak tertentu, namun kerajaan Kedah komited dengan keputusan berkenaan.

Menteri Besar juga berkata, pihaknya menghantar surat kepada Kementerian Kewangan bagi memaklumkan keputusan kerajaan negeri berkaitan isu terbabit.

“Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak akan memperbaharui atau mengeluarkan lesen premis perjudian di negeri ini,” ujarnya.

Tamat