Kementerian Hal Ehwal Agama, bakal memperkenalkan satu modul khas Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) Ihsan bagi memberi nilai tambah kepada pelajar menengah.

Menterinya Senator Ustaz Idris Ahmad.
berkata, perkara berkenaan masih proses penilaian akhir pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum diumumkan untuk pelaksanaan nanti.

“KAFA Ihsan tidak diwajibkan dan hanya sebagai mata pelajaran pilihan kepada pelajar namun mereka adalah digalakkan untuk mengambil mata pelajaran berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Multaqa Murabbi Ummah, peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Idris berkata modul KAFA Ihsan berbeza daripada mata pelajaran Pendidikan Islam kerana ia lebih memfokuskan kepada nilai tambah pembinaan peribadi pelajar dan kepimpinan selain soal-soal ibadah.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM58,546,046 kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA negeri Sabah pada tahun ini.

“Bermula bermula Januari ini guru KAFA wanita yang bersalin layak diberikan cuti selama 60 hari dengan dibayar elaun berbanding sebelum ini mereka hanya layak cuti bersalin tetapi tidak dibayar elaun.

“Ini adalah usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan guru-guru KAFA sepanjang kontrak mereka berkuat kuasa dengan agensi pelaksana KAFA negeri,” katanya.

Tamat