9.2 kilogram syabu dan satu kilogram ketamin bernilai RM386,848 berjaya dirampas pihak polis melalui dua serbuan pada Rabu lalu dan semalam di Kota Kinabalu.

Melalui serbuan berkenaan PDRM turut memberkas tiga lelaki berusia 37 hingga 52 tahun dipercayai dalang sindiket terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, sindiket dadah menggunakan modus operandi menyimpan bahan terlarang itu didalam bungkusan produk berasaskan kelapa.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 37 tahun yang ditahan pada pukul 2.45 petang kelmarin di Jalan Ranggung Batek, Likas dan merampas kotak berisi tujuh bungkusan dipercayai syabu seberat 7.17 kg.

“Kita menangkap rakannya pada hari sama di Luyang. Suspek ketiga pula diberkas di hadapan sebuah pusat beli-belah di Alam Mesra bersama syabu seberat 1.22 kg didalam beg yang dibawa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut di kediaman suspek di Kampung Bantayan, Inanam pula membawa kepada penemuan 1.22 kg syabu dan satu kilogram ketamin.

Menurutnya, suspek dipercayai membuat pesanan dadah dari Semenanjung dengan menggunakan perkhidmatan kurier melalui alamat palsu dan menggunakan bungkusan produk berasaskan kelapa bagi mengaburi mata pihak polis

Tamat