Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memiliki bekalan stok minyak mentah dan terproses hampir 1.58 juta tan sehingga Disember lalu dan jumlah tersebut mampu memenuhi permintaan pengguna sekali gus menolak dakwaan ada elemen penyelewengan atau campur tangan kartel dalam industri tersebut.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pihaknya menafikan dakwaan berhubung kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi atau minyak peket seperti dilaporkan di beberapa negeri.

Menurut beliau, bekalan tersebut mencukupi berdasarkan laporan bulanan yang diterima daripada lebih 400 kilang proses dan 60 kilang penapis sawit di Malaysia.

“Sehingga Disember lalu, negara memiliki bekalan terakhir sebanyak hampir 1.58 juta tan minyak dan laporan itu turut dimuat naik dalam laman web selain perkara berkaitan harga, bekalan, import dan eksport sebagai panduan peruncit,” kata beliau baru-baru ini.

Menurut beliau, walaupun bekalan tersebut rendah tetapi masih mampu memenuhi permintaan pengguna sekali gus menolak adanya unsur penyelewengan atau campur tangan kartel dalam industri tersebut.

“Kalau lihat dari segi data stok, memang rendah tetapi stok masih ada. Perkara berkaitan minyak bersubsidi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, sebab itu kita tidak siasat secara underground. Kalau apa-apa di bawah lesen MPOB, barulah kita akan siasat. Yang ini saya tak boleh komen,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Ahmad Parveez memberitahu, usaha kartel dalam industri ini mudah dipatahkan dengan adanya Sistem Pemantauan Sawit (SPS) yang dilaksanakan untuk memantau pergerakan kenderaan yang mengangkut minyak sawit dalam meningkatkan pemantauan pengalihan produk sawit bagi mengelak aktiviti salah laku dalam industri berkenaan.

Jelasnya, penguatkuasaan peraturan dalam industri sawit juga termasuk pemantauan aktiviti pengalihan minyak sawit, pencemaran kualiti dan pematuhan peraturan alam sekitar.

“Setiap tangki daripada kilang sudah ada alat pengesan. Ini bermakna pergerakan setiap tangki di seluruh negara ada kawalan. Jika dulu orang tertumpu pada satu lokasi, mereka sedut minyak dalam tangki lain, campur air dan sebagainya, jadi itu kita sedang atasi.

“Pergerakan mereka sentiasa dipantau dan kita akan nampak jika terlalu lama berhenti di satu lokasi yang sama, kita sudah tahu (aktiviti seludup) dan akan buat serbuan,” ujarnya.

Katanya lagi, walaupun kegiatan kartel masih berlaku dalam tempoh setahun hingga dua tahun ini, namun telah berkurang disebabkan kawalan ketat oleh MPOB.

“Kalau ikutkan aktiviti menipu ketika timbang banyak berlaku pada tahun lepas tetapi MPOB melalui kerjasama dengan kementerian telah melakukan serbuan untuk mengurangkan aktiviti itu selepas menerima aduan atau maklumat daripada orang awam.

“Kami di MPOB hanya ambil tindakan jika berlaku pelanggaran akta seperti menyiram buah atau menggunakan buah sawit yang muda. Hal berkaitan alat timbang adalah di bawah kementerian. Yang pasti, kita berjaya kurang aktiviti ini,” katanya lagi.- MINGGUAN