“Tak kan kita minta sedekah kerusi-kerusi ini. Pas tidak minta sedekah kerana Pas ada kekuatan sendiri,” itu kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada media semalam.

Menurutnya PAS bukan parti yang lemah sehingga perlu menjadi peminta sedekah dalam mendapatkan kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Beliau berkata PAS itu mempunyai kekuatan sendiri dan parti itu belum menentukan jumlah dan lokasi kerusi yang akan ditandingi di Johor.

Mengesahkan PAS bakal bertanding dalam PRN Johor, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS tidak perlu menjadi pengemis kerana parti itu mempunyai kekuatan yang tersendiri khususnya dari segi jumlah jentera.

Jelas beliau, keahlian PAS kini adalah seramai satu juta orang dengan 800,000 ahli aktif dan daripada 222 kawasan Parlimen, parti itu mempunyai jentera di 197 kawasan.

“Kita buktikan melalui banjir di Selangor, Pahang dan Johor. Jentera jentera PAS turun padang membantu menyiapkan rumah yang rosak satu malam. Ini kekuatan jentera kita dan masing masing ada kekuatan sendiri,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan PAS menafikan dakwaan kononnya parti itu menolak tawaran kerusi oleh UMNO kerana lebih tertarik dengan tawaran Bersatu yang dikatakan menawarkan lebih banyak kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Tamat