DUNGUN: Jenazah Awang @ Muda Embong, bapa pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, dekat sini, pada jam 2.45 petang hari ini.

Terdahulu jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di kediamannya, di Kampung Nibong Stesen, dekat sini, sebelum dibawa ke tanah perkuburan kira-kira jam 2 petang.

Selain ahli keluarga dan sanak saudara, turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Izwandy Ismail.

Abang Azizulhasni, Mohd Azrul Hafidz, 35, berkata, Allahyarham bapanya menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, akibat angin ahmar pada jam 2 pagi tadi.

Katanya, Allahyarham dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu empat hari lalu selepas pernafasannya tidak stabil sebelum kembali stabil petang semalam dan dibenarkan pulang.

Allahyarham kelihatan sihat dan masih mengukir senyuman semalam. Jadi kami tidak menjangkakan pemergian Allahyarham pagi tadi,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan.

Mohd Azrul berkata Azizulhasni yang kini berada di Melbourne, Australia kerana menjalani latihan tidak sempat pulang untuk menatap arwah bapa mereka buat kali terakhir.

“Bagaimanapun Azizulhasni sempat bertemu dengan bapa pada awal Januari sebelum kembali ke Melbourne minggu lalu kerana isterinya, Datin Athiah Ilyana Abd Samat, 36, bakal melahirkan anak ketiga awal bulan depan.

“Sebelum bertolak ke Melbourne, Azizulhasni sempat meminta restu daripada arwah bapa. Lagi pun ayah tidak menghalang anak-anaknya meneruskan kerjaya yang diminati masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Mohd Izwandy percaya Azizulhasni kuat menerima dugaan itu walaupun tidak berada disisi bapanya ketika menghembuskan nafas terakhir.

“Saya mewakili JBSNT mengucapkan takziah buat Datuk Azizulhasni dan keluarga. Kami yakin dan percaya Azizulhasni kuat menerima ujian besar ini dan mendoakan arwah ditempatkan dalam kalangan insan beriman,” katanya.

Tamat

Sumber – BERITA HARIAN