Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam sebarang aktiviti rasuah, seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal berita baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menyifatkan dakwaan itu sebagai satu rekayasa berbaur fitnah.

Tegasnya, dakwaan itu jelas satu usaha pembunuhan karakter terhadap beliau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung.

“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan.

“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

“Hidup dan perjuangan saya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib orang kurang upaya (OKU), nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti bagi negara kita yang tercinta,” katanya lagi.

Baru-baru ini, portal Malaysiakini memetik sumber sebagai berkata, siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berhubung dakwaan rasuah membabitkan Maszlee semasa beliau menjadi menteri pendidikan dari 2018 hingga awal 2020.

Maszlee didakwa menerima wang daripada pembekal kementerian berkenaan yang kemudiannya digunakan untuk aktiviti politik.

Beliau juga didakwa menerima sebuah kereta jenis Toyota Vellfire daripada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kementerian tersebut.

Semalam, SPRM dalam kenyataannya menegaskan, proses siasatan dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.

“SPRM telah menerima dua aduan terhadap Ahli Parlimen berkenaan dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

“SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat,” katanya.