Wang bantuan RM 1,300 akan diberikan terus kepada pemilik rumah mengalami kerosakan akibat bencana yang melanda beberapa kawasan di Ipoh petang semalam.
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata setakat ini sebanyak 219 rumah di beberapa kawasan iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di situ didapati terkesan dengan kejadian ribut yang berlaku pada kira-kira 6 petang, semalam.
“Kerajaan Negeri akan memberi wang ehsan sebanyak RM300 di setiap rumah terlebih dahulu pada hari ini dan kontraktor yang efisien juga akan dilantik segera untuk membaiki rumah mereka kerana atap rumah yang diterbangkan angin perlu diganti segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk sekiranya hujan.
“Ia perlu diselesaikan secepat mungkin kerana dibimbangi jika hujan turun, maka air hujan membuatkan kerosakan lebih teruk dalam kawasan rumah jadi kita sedang sedaya upaya selesaikan masalah ini,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan ke kawasan terjejas yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mastura Mohd Yazid dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Mohd Zolkafly Harun.
Saarani berkata bantuan Wang Ihsan Nadma daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM1,000 akan turut diberikan kepada mangsa yang terlibat, dalam masa terdekat.
Sementara itu, Mastura berkata pihaknya sedang menunggu senarai mangsa dan kediaman yang terlibat daripada Pejabat Daerah Kinta untuk menyalurkan bantuan Wang Ihsan Nadma dengan segera.
“Pada hari ini, Nadma juga menyampaikan kotak makanan kepada penduduk yang memerlukan bagi mengurangkan bebanan mereka,” katanya.
Tamat