Islam telahpun menggariskan sifat Ihsan bagi melengkapi, Iman dan Takwa dalam diri penganutnya. Ketiga-tiga sifat ini menjadikan manusia itu bergelar insan.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memetik (Surah al-Insan : 8-9)” Dan mereka memberi makan atas dasar sayang kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan. Kami hanya memberi makan kepada kamu kerana redha Allah, kami tidak mahukan daripada kamu balasan dan juga penghargaan”.

“Melalui potongan surah berkenaan menceritakan semua bantuan dan kebajikan ini hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah.

“Tidak diharapkan balasan dari orang yang dibantu malah tidak diharapkan sebarang ucapan terima kasih tanda penghargaan.

“Bahkan barangkali berlaku bagai pepatah Melayu menyatakan bagaikan melepaskan anjing yang tersepit, tetapi bagi seorang mukmin tiada pernah mengungkit sebarang bantuan dan pertolongan di saat kesusahan,” katanya melalui laman Facebook rasmi milik beliau.

Dr Khairuddin turut membawa kisah seorang pelacur yang hanya membantu anjing kehausan turut diberi ganjaran syurga.

“Membantu manusia yang kesusahan adalah sifat mulia seorang mukmin. Malah membantu binatang seperti anjing yang kehausan pun adalah akhlak besar seorang mukmin.

“Allah Taala menasihati lagi bahawa ucapan yang baik lebih baik daripada sedekah dan bantuan yang diekori dengan pelbagai ungkitan dan kata-kata serta perlakuan menyakitkan hati orang yang dibantu.

“Maka marilah kita beramal dengan nasihat al-Quran ini. Bantulah manusia hatta binatang yang kesusahan. Usah diungkit kebaikan yang hulurkan di kemudian hari kerana ia menyakitkan hati dan perasaan. Ia juga menghapuskan pahala kebajikan” katanya.

Tamat