Khazanah lama sebuah perahu dipercayai digunakan pedagang terdahulu dijumpai penduduk berhampiran di tebing Sungai Ketil berdekatan Kampung Lela, Kuala Pegang, baru-baru ini.

Penemuaan perahu lama berkenaan ekoran fenomena sungai yang semakin cetek akibat kemarau berpanjangan.

Seorang wakil penduduk berkata, perahu sepanjang sembilan meter itu masih dalam keadaan baik dan kayunya masih kukuh.

“Perahu itu dalam keadaan baik kerana strukturnya masih kukuh dan dipercayai diukir oleh pedagang dahulu menggunakan kayu dari jenis yang tahan lama.

“Perahu itu dipercayai digunakan oleh pedagang terdahulu melalui Sungai Ketil untuk berdagang,” katanya.

Dia berkata perahu itu dipercayai berusia 100 tahun malah strukturnya masih dalam keadaan baik.

“Saya meminta orang kampung menarik keluar dan mencuci perahu itu supaya bersih dan dalam keadaan baik.

“Saya juga telah menghubungi Jabatan Muzium Malaysia mengenai penemuan perahu lama itu,” katanya.

Tamat