Kedah kini bukan sahaja sebagai negeri jelapang padi tapi turut bertindak sebagai pemacu produktiviti dan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi melalui Kedah Rubber City.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata KRC merupakan salah satu daripada pelbagai projek pencetus perubahan ‘game changer’ yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri untuk mentransformasi negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang maju.

“Ini sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah. Projek ini turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyampaikan pembangunan berskala besar ke kawasan-kawasan kurang membangun di negara ini,

“Alhamdulillah, bagi tempoh Januari hingga September 2021, Kedah telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM57.1 bilion atau 32 peratus daripada nilai pelaburan masuk ke negara kita bagi tempoh yang sama.

“Di bawah Pelan Pembangunan Strategik Wilayah NCER (2021-2025), Kedah dijangka akan mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahunan berjumlah RM62 bilion menjelang tahun 2025, berbanding RM46 bilion pada tahun 2020,” katanya

Menurutnya Kedah akan terus dikekalkan dengan pelaksanaan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti KRC.

“Ekonomi Kedah telah melonjak semula dengan kukuh pada 2021 dengan disokong oleh pelaburan swasta dalam sektor pembuatan khususnya dalam pengeluaran sarung tangan getah, produk elektrik dan elektronik, serta tenaga boleh baharu,”.

“Saya yakin, KRC juga mampu mengikut jejak langkah Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dalam menarik kemasukan pelaburan yang berkualiti yang berupaya menjana limpahan manfaat kepada rakyat negeri Kedah, khususnya dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu,” katanya.

Beliau pada masa sama yakin segenap lapisan masyarakat juga bakal menikmati manfaat daripada pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi NCIA seperti NCER AgriBio Economic Zone (NAEZ) yang merangkumi Model Pengurusan Estet (EMM) 2.0 bagi penanaman padi di Pendang serta Bandar Baharu Innovation Hub, Kedah Science & Technology Park (KSTP), Integrated Economic & Community Centre atau iCON di Sik, Baling dan Yan, serta Perpustakaan Digital Kedah (Kedah Digital Library).

Tamat