Seakan ralat apabila pemimpin parti Melayu, tidak dapat mentafsirkan metafora Bahasa Melayu sehingga meminta Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertukar profession menjadi ahli zoology.

Nampak begitu keterlaluan apabila Zahid Hamidi gagal memahami konteks terma ‘itik patah kaki’ yang biasanya menjadi kiasan seni kata bahasa Melayu.

SETIAUSAHA Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempertahankan kenyataan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan UMNO seperti ‘itik patah kaki’.

Sudah menjadi budaya Melayu berkias dalam berkata, seperti mana Hadi Awang hanya menggunakan perbandingan berupa binatang dalam banyak ucapan mengikut sunnah gaya bahasa al-Quran.

“Gaya bahasa al-Quran kaya dengan pelbagai peribahasa dan perbandingan. Perbandingan merupakan acuan yang menzahirkan sesuatu makna dalam bentuk yang lebih terasa dan lekat dalam pemikiran manusia. Antara peribahasa yang banyak dalam Al-Quran ialah melibatkan binatang.

“Al-Quran dalam Surah al-A’raf ayat 175-176 menggambarkan manusia berilmu yang meninggalkan ilmunya tanpa amal seumpama anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya ketika lapar atau kenyang. Anjing adalah binatang yang najis.

“Dalam Surah al-Jum’ah ayat 5 dibandingkan pula golongan berilmu yang tak beramal ini dengan keldai yang menanggung bebanan yang bermanfaat,” katanya.

Selain itu Al-Quran juga menggunakan perbandingan binatang bernama lalat dalam Surah al-Hajj ayat 73 bagi menggambarkan kesesatan mereka yang menyembah patung berhala. Lalat adalah binatang yang hinggap di atas benda yang kotor seumpama tahi.

“Dalam Surah al-Furqan ayat 44 al-Quran menggunakan perbandingan binatang ternakan kepada golongan yang tidak mahu menggunakan akal, mata dan telinga untuk mencari kebenaran.

“Dalam Surah al-Ankabut ayat 41 pula Allah membandingkan golongan yang mengambil selain Allah sebagai pembantu ibarat labah-labah yang membina sarang.

“Dalam Surah al-Qari’ah ayat 1-4 manusia di hari Qiamat dibandingkan pula dengan rama-rama yang berterbangan,” .

Presiden PAS menggunakan perbandingan berupa binatang, hanyalah mengikut sunnah gaya bahasa al-Quran.

Sekiranya beliau dituduh “ahli zoologi” bermaksud ahli ilmu tentang binatang dengan tujuan mempersendakan ia seumpama memperkecilkan juga gaya bahasa al-Quran, ataupun Zahid Hamidi kurang peka dengan budaya Bahasa Melayu.

Bahkan bahasa Melayu juga kaya dengan perbandingan binatang kerana mereka hidup di alam yang dikelilingi oleh pelbagai jenis binatang.

Contoh peribahasa Bahasa Melayu sering digunakan antaranya, ‘bagai obor-obor airnya hitam bermaksud daripada tingkahlaku dan bahasanya, diketahui orang itu jahat.

Jadi sekiranya gagal menghayati seni Bahasa Melayu dan al-Quran bagaimana mahu membawa bangsa kembali menghayati dan menerapkan nilai ilmu.

Perlu difahami, seni bahasa dan bangsa Melayu ini tinggi nilainya, kerana ianya berasaskan pemerhatian sains yang diolah menerusi kata-kata puitis.

Kesimpulannya, perbandingan dengan binatang adalah sunnah al-Quran dan adat Melayu yang kaya dengan bahasa. Jika mahu dikatakan ahli zoologi maka sememangnya al-Quran dan bangsa Melayu adalah ahli zoologi yang kaya dengan ilmu tentang binatang.

Tamat