Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Negeri PRN Johor akan diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan bukannya pihak kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan boleh memberi pandangan mengenai pelaksanaan SOP itu, namun keputusan terakhir akan dibuat SPR.

“Kita tahu situasi PRN berada dalam tangan SPR, jadi sandaran pada PRN Melaka dan Sarawak (sebelum ini) menjadi pertimbangan kita apabila berbincang dan pandangan pihak berkepentingan kita akan bawa ke SPR untuk memikirkan.

“Yang akan memutuskan SOP PRN adalah SPR, bukan kerajaan. Jadi apa yang boleh kita buat memberi pandangan, terserah kepada mereka (SPR) untuk menentukannya (SOP) pada PRN Johor,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 22 Januari lalu, berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Menurutnya setakat ini tiada keperluan bagi membuka hospital medan susulan peningkatan kes COVID-19.

“Kalau hospital sedia ada tidak membebankan (penuh pesakit COVID-19), kita tidak perlu hospital medan.

“Kalau perlu, kita akan buat. Ia bukan masalah kerana membina hospital medan ini mengambil masa dalam seminggu,” katanya.

Tamat