Padi belum masak, tiba-tiba dah ada angin berbunyi, itu antara yang dapat diperkatakan, apabila wujud gimik baru ada penarikan sokongan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap kerajaan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Kedah, Datuk Juhari Bulat berkata, kerajaan negeri stabil, semua memberi komitmen tinggi, lagipun negeri ini bertuah, pelaburan kini juga semakin tinggi.

“Setakat ini DUN Kedah stabil. Tidak ada (dakwaan PRN akan berlaku di Kedah). Itu semua gimik. Semuanya baik di Kedah, tidak ada apa-apa,”

“Pelaburan yang besar sedang berlaku di negeri ini, mendahului negeri-negeri lain seperti Selangor dan Pulau Pinang. Kita perlu jaga baik-baik,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, ketika ini beliau tidak nampak sebab untuk mana-mana pihak berbuat demikikan ketika Muhammad Sanusi menerajui kerajaan negeri dengan cukup cemerlang.

“Kepimpinan Muhammad Sanusi ketika ini seakan berada di kemuncak dan anda boleh lihat berapa banyak pelaburan yang masuk, termasuk diumumkan di Bandar Raya Getah (KRC) kelmarin.

“Jadi kalau kita tarik sokongan, kita hendak cari yang macam mana lagi? Buat masa sekarang saya tak fikir akan ada ADUN Bersatu yang akan melompat,” katanya.

Sebelum ini Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan bahawa Kedah telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM57.1 bilion atau 32 peratus daripada nilai pelaburan masuk ke negara ini bagi tempoh Januari hingga September 2021.

Tamat