Penggerak ummah seperti Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain, (KAFA) memainkan peranan penting dalam masyarakat sebagai ‘murrabbi’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, asas benteng pertahanan akidah generasi masa depan negara banyak disumbangkan oleh guru KAFA.

Ia bertepatan dengan objektif pelaksanaan KAFA supaya kanak-kanak Islam berumur tujuh hingga 12 tahun di negara ini dapat menguasai asas ilmu akidah, ibadah, akhlak, fardhu ain dan lain-lain asas agama dengan baik.

“Hari ini, kita berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk gejala sosial yang amat membimbangkan.

“Oleh itu, kita semua perlu memperkuatkan asas agama kepada masyarakat kita dan di peringkat JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), kita melancarkan program Bulan Solat Peringkat Kebangsaan.

“Kita gerakkan kempen kesedaran bersolat kepada masyarakat. Alhamdulillah, negeri Terengganu juga telah melaksanakan program penghayatan solat,” katanya.

Menurutnya, kata beliau, pihak JAKIM juga meletakkan keutamaan bagi menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) khususnya dalam program KAFA seperti pembukaan KAFA Murid Berkeperluan Khas (MBK) bagi murid kurang upaya.

Menurutnya, kini terdapat 43 orang Guru KAFA tulen yang telah dipilih sebagai guru KAFA MBK sejak 2018.

“Terdapat empat buah negeri yang telah membuka KAFA MBK secara rasmi pada tahun 2020 iaitu Johor, Sabah, Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” jelasnya.

Manakala, katanya bermula Januari 2022 juga guru KAFA wanita yang bersalin layak diberikan cuti bersalin sebanyak 60 hari dengan dibayar elaun.

Ini katanya, usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan guru-guru KAFA sepanjang kontrak berkuatkuasa dengan Agensi Pelaksana KAFA Negeri.

Tamat