Berbagai strategi politik kini digunakan secara kreatif dalam usaha menambat hati pengundi terutamanya golongan muda yang menjadi penentu pilihanraya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa pihak lawannya DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini menumpang imej Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau mendakwa, ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan (PH) itu mahu dilihat muda dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi muda.

“Sebab itu mereka sanggup serah sembilan kerusi kepada Muda.

“Itu pengakuan iaitu sayap Pemuda PH seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan DAPSY adalah gagal,” katanya menerusi posting di laman sosial semalam.

DAP dan Amanah pada Rabu dilapor bersetuju memberikan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Muda pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada PRN Johor.

Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama ditandatangani, Syed Saddiq, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

PKR kemudiannya dalam kenyataan berasingan pula menawarkan tiga kerusi miliknya kepada Muda dan rundingan sedang dilakukan serta masih menanti jawapan daripada parti berkenaan.

Tamat