PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden memberi amaran kepada Presiden Rusia Vladimir Putin bahawa Barat akan bertindak balas dengan tegas terhadap sebarang pencerobohan ke atas Ukraine.

Katanya pada Sabtu, langkah sedemikian akan mengakibatkan padah yang buruk terhadap Rusia, termasuk Moscow berkemungkinan akan dipencilkan.

Kedua-dua pemimpin itu bercakap melalui telefon selama sejam, sehari selepas Washington dan sekutunya memberi amaran, 100,000 tentera Rusia yang berkumpul berhampiran Ukraine mungkin boleh menyerang pada bila-bila masa.

Moscow bagaimanapun telah mengenepikan amaran itu, menyifatkannya sebagai “histeria.”

Kedua-dua pihak tidak menyatakan terdapat sebarang kejayaan berkaitan ketegangan berkenaan.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Biden berkata, perbualan antara keduanya adalah profesional dan substantif, tetapi tidak melibatkan sebarang perubahan asas.

Kremlin berkata, Putin mendakwa Biden telah gagal mengambil kira kebimbangan utama Rusia dan ia tidak menerima “jawapan yang kukuh” berhubung beberapa elemen utama, termasuk pengembangan NATO dan penempatan pasukan serangan ke Ukraine.

Pegawai kanan pentadbiran Biden berkata, adalah tidak jelas sama ada Putin komited terhadap diplomasi walaupun dia bersetuju untuk terus berhubung dengan Biden.

Perkembangan terbaru ini berlaku ketika Israel, Portugal dan Belgium menyertai senarai negara yang menggesa rakyat mereka meninggalkan Ukraine dengan segera.

Terdahulu, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengarahkan kebanyakan kakitangan kedutaannya meninggalkan Ukraine.