Sebagaimana Terengganu, Kelantan, Kedah, telah membuktikan tiada penyalahgunaan kuasa serta kes rasuah, itulah perkara yang sama ditawarkan kepada rakyat Johor.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan PAS bukan sekadar cakap kosong kerana segenap rakyat menikmati nilai yang dibawa menerusi 5 Menteri dan Timbalan Menteri dan juga anak syarikat kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh ahli-ahli parlimen PAS.

“Kejayaan PAS menerajui Kelantan sejak 1990 dengan penekanan kepada konsep Ubudiyah Mas’uliyah Itqan dalam pentadbiran negeri sehingga terselamat daripada sebarang isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kejayaan PAS mengemudi Terengganu dalam masa 4 tahun sejak 2018 dengan pelbagai pakej program menjurus kepada khidmat rakyat marhaen.

“Kejayaan PAS menjayakan pelbagai projek pelaburan baru di negeri Kedah ke arah memperkasakan ekonomi kerajaan dan rakyat negeri Kedah,” katanya melalui laman Facebook rasmi beliau tadi.

Menurutnya rakyat boleh melihat dan menilai sendiri ‘track’ rekod pentadbiran PAS samada di kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.

Ini kerana PAS mempunyai bahan kempen yang terlalu banyak untuk dipasarkan kepada rakyat menerusi agenda politik matang, bukannya melalui penyebarab fitnah serta propaganda murahan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pelaksanaan pencen rakyat merupakan manifesto Parti Islam Semalaysia (PAS) negeri Terengganu sebelum memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Rakyat telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kami untuk memerintah negeri ini. Hari ini kerajaan telah bersetuju membayar pencen rakyat kepada lebih 19,000 warga emas,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai ketika merasmikan Majlis Sumbangan Pencen Rakyat Dun Cukai.

Dalam majlis itu, seramai 712 orang warga emas telah menerima sumbangan sebanyak RM300.

Bantuan pencen rakyat dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang sudah bersara, tidak menerima mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta berada dalam golongan miskin.

Tamat