Pas dan UMNO jangan bergaduh walaupun kedua-dua parti tidak boleh bekerjasama lagi dalam pilihan raya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kedua-dua parti perlu mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera tanpa serang-menyerang antara satu sama lain.

“Jika Pas dan UMNO tidak boleh lagi bersama dalam wadah pilihan raya dan akan berlawan dalam pilihan raya, kekalkan berlawan dengan matang dan sejahtera tanpa serang-menyerang.

“Hal ini kerana banyak lagi ruang kerjasama diperlukan pasca pilihan raya. Itulah politik baru yang dihasratkan oleh generasi baru apatah lagi anak muda 18 tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menambah, pengundi atas pagar juga muak dengan perbalahan sesama parti politik.

“Boleh amalkan apa yang berlaku dalam pilihan raya Melaka. Itu contoh terbaik. Itu sahaja maksud politik matang.

“Itu sahaja seruan saya kepada Pas dan UMNO. Rasanya tidak sukar untuk difahami,” ujarnya.

Kenyataan Mohd Khairuddin itu menyusul selepas Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kestabilan politik dalam negara seperti yang dilaungkan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO disifatkan hanya boleh dicapai sekiranya parti itu tidak lagi memerintah.

Muhammad Sanusi berkata, ia berikutan ketidakstabilan politik berlaku sehingga beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan disebabkan tindakan BN selepas diberi peluang kembali memerintah.