Satu video tular apabila menunjukkan seekor gajah menceroboh masuk di Kem Sri Banding, Gerik, baru-baru ini, dipercayai mahu mencari makanan di gudang simpanan rangsum tentera di kem berkenaan.

Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, berkata gajah itu dilihat menceroboh kem berkenaan, dan ianya kerap berlaku, terutama apabila dipercayai berlaku kerosakan pada pagar elektrik atau pagar tidak diselenggara dengan baik.

“Ada (terima laporan baru-baru ini) dan ini kejadian berulang yang mana situasi sama kerap berlaku di situ. Cuma kali ini ada pula yang rakam dan viralkan.

“Punca gajah itu masuk, mungkin kerana masalah pagar elektrik di kem berkenaan yang rosak atau tidak diselenggarakan dengan baik,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 01:11 minit tular, memaparkan seekor gajah merosakkan beberapa peralatan menerusi luar tingkap di sebuah premis dipercayai milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Video berkenaan turut disertakan dengan keterangan mengenai lokasi kejadian iaitu di Kem Banding, Gerik membabitkan premis stor simpanan rangsum atau makanan tentera ketika menjalani latihan atau misi.

Tamat