MARAN – Lesen pembalakan di kawasan hutan berhampiran kawasan rekreasi Bukit Makro di Pahang dibatalkan dan segala aktiviti pra pembalakan di kawasan itu turut dihentikan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Mohd. Hizamri Mohd. Yassin berkata, arahan pembatalan lesen yang diberikan pada 17 Januari lalu itu dibuat kerajaan negeri mengambilkira kepentingan awam dan berdasarkan analisa pasca banjir.

“Kerja-kerja pembalakan di kawasan tersebut masih belum dimulakan pelesen dengan hanya kerja-kerja awalan membersihkan jalan pengeluaran dan pembinaan matau utama di atas tanah kerajaan sahaja dimulakan.

“Pada masa ini semua jentera yang terlibat telah dikeluarkan daripada kawasan tersebut,”katanya di sini hari ini.

Tular dalam media sosial mengenai isu pembalakan yang sudah diluluskan di hutan berkenaan yang menimbulkan bantahan aktivis alam sekitar dan penduduk tempatan.

Difahamkan Bukit Makro terdiri daripada dua bukit iaitu Bukit Keramat di sebelah bandar Maran dan Bukit Senggora di sebelah kawasan perkampungan di Jalan Lubuk Paku.

Menurut Mohd. Hizamri kawasan yang diluluskan untuk pembalakan kepada Amanah Saham Pahang (ASPA) itu adalah seluas 40.47 hektar di atas tanah kerajaan.

Katanya, kawasan yang diluluskan di Bukit Makro tersebut tidak berada di dalam kawasan hutan simpan dan semua penilaian terutama yang berkaitan dengan impak alam sekitar telah mendapat kelulusan oleh jabatan-jabatan yang terlibat.

“Namun demikian, JPNP telah mengarahkan agar ia diberhentikan semasa musim tengkujuh dan kejadian banjir di negeri Pahang baru-baru ini,”ujarnya.-

Sumber – KOSMO